Go to top of page

Identifying, avoiding and reporting illegal cheating services (Malay) – Mengenalpasti, mengelak dan melapor khidmat penipuan haram

Memahami integriti akademik

 Mengenalpasti, mengelak dan melapor khidmat penipuan haram

Perkhidmatan penipuan haram menggugat integriti akademik, dan mereka mendedahkan para pelajar kepada penjenayah. Kajian menunjukkan bahawa pengendali perkhidmatan penipuan haram ini akan mengugut untuk memberitahu universiti atau bakal majikan pelajar berkenaan penipuan yang dilakukan oleh pelajar sekiranya pelajar tidak membayar mereka dengan sejumlah wang yang besar1.

Australia telah mengharamkan perkhidmatan penipuan komersil dan promosinya kepada pelajar. Undang-undang mencegah perkhidmatan penipuan komersil termasuklah hukuman jenayah seperti denda hingga $100,000 kepada pengendali. Mereka yang menawarkan perkhidmatan penipuan secara percuma juga bakal menghadapi pendakwaan sivil. Undang-undang ini tidak menghukum para pelajar yang menggunakan perkhidmatan ini untuk menipu tetapi dasar disiplin institusi akan terus diguna pakai.

TEQSA telah membangunkan maklumat berikut untuk membantu pelajar mengenalpasti, mengelak dan melaporkan perkhidmatan penipuan haram. Maklumat ini bertujuan untuk melengkapkan, bukan menggantikan, apa-apa nasihat yang mungkin anda terima daripada institusi anda.

Mengenalpasti perkhidmatan penipuan haram

Identify icon

Perkhidmatan penipuan komersial haram boleh merangkumi laman web dan individu atau kumpulan yang memasarkan atau menyediakan perkhidmatan penipuan kepada pelajar.

Perkhidmatan penipuan haram – adakalanya dikenali sebagai perkhidmatan penipuan kontrak – menjual esei atau tugasan kepada pelajar, atau menerima bayaran untuk seseorang menduduki peperiksaan bagi pihak pelajar.

Kerapkali perkhidmatan sebegini memasarkan diri mereka sebagai menawarkan ‘sokongan pembelajaran’. Ramai pengendali haram ini akan meminta pelajar memuat naik hasil kerja terdahulu atau bahan-bahan dari kursus mereka untuk mendapat akses kepada ‘sokongan’ yang diiklankan. 

Beberapa perkhidmatan haram ini membuat pemasaran secara agresif melalui media sosial, emel dan di kampus. Mereka juga boleh mencari anda melalui siaran anda di media sosial. Misalnya, seorang pelajar mungkin bersiaran berkenaan esei yang mereka sedang tulis dan kemudiannya menerima pelbagai mesej ‘bot’ yang menawarkan perkhidmatan penipuan haram komersil.

Mengelakkan perkhidmatan penipuan haram

Avoid icon

Mengenalpasti perkhidmatan penipuan yang menyalahi undang-undang kadangkala sukar tapi anda seharusnya mengelakkan apa-apa perkhidmatan yang:

  • menjanjikan bantuan menulis atau memperbaiki esei atau tugasan anda atau menduduki peperiksaan bagi pihak anda dengan dibayar wang
  • menawarkan ‘sokongan pembelajaran’ yang tidak diminta melalui media sosial, emel atau melalui iklan di kampus
  • meminta anda memuat naik contoh hasil kerja anda yang terdahulu, atau bahan-bahan dari kursus anda, sebelum anda dapat menerima bantuan mereka.
  • menawarkan untuk menjual kepada anda nota pembelajaran, bahan peperiksaan atau lain-lain penilaian

Para pelajar yang mengalami kesukaran pembelajaran harus sentiasa berbincang dengan tutor atau penyelaras kursus mereka. Mereka boleh membantu anda mendapat akses kepada pilihan-pilihan sokongan pembelajaran dan juga melindungi integriti akademik anda.

 tip-tip

Tip: Menyekat mesej-mesej tidak diundang yang datang melalui media sosial atau e-mel yang menawarkan sokongan pembelajaran, penulisan esei atau lain-lain perkhidmatan penipuan kontrak dapat membantu anda menghindari perkhidmatan penipuan haram dan mengekalkan integriti akademik anda.

Berhati-hati dengan maklumat yang anda kongsi di media sosial dan pertimbangkan tetapan privasi anda. Ini boleh membantu mengelakkan anda dari disasarkan oleh pengendali perkhidmatan penipuan haram.

 

Melapor perkhidmatan penipuan haram

Reporting icon

TEQSA bersama penyedia pendidikan tinggi Australia bekerjasama dengan berkongsi maklumat berkenaan perkhidmatan penipuan haram. Ini memberi sokongan kepada institusi-institusi dalam melindungi kepentingan pelajar serta integriti akademik dengan melindungi rangkaian mereka dari perkhidmatan haram.

Di manakah kita boleh melaporkan perkhidmatan yang disyaki penipuan komersil?

Kepada penyedia anda

Jika anda menerima e-mel mempromosi sesuatu yang disyaki perkhidmatan penipuan haram melalui akaun e-mel institusi anda, atau anda ternampak laman yang anda syaki merupakan laman penipuan dalam rangkaian institusi anda, laporkannya kepada sekolah atau universiti anda. Anda juga harus memaklumkan mereka sekiranya anda ada terlihat poster, notis atau kad perniagaan di kampus yang mempromosi perkhidmatan penipuan haram.

Kepada TEQSA

Sekiranya anda menemui sesuatu yang disyaki sebagai perkhidmatan penipuan haram, anda boleh melaporkannya dengan melengkapkan borang atas talian kami.

Nota

  1. Yorke, J., Sefcik, L., & Veeran-Colton, T. (2020). Contract cheating and blackmail: a risky business? Studies in Higher Education.